MELAKA – Seorang peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas sembilan pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM450, tiga tahun lepas.
Tertuduh Quek Kia Ping, 32, tidak mengaku bersalah selepas semua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Quek didakwa telah memberikan dokumen iaitu borang tuntutan YBGK yang mengandungi butiran palsu atas perkhidmatan pendengaran/mitigasi yang sebenarnya perkhidmatan tersebut tidak dilakukan pada 13 April hingga 23 April 2015.
Quek didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir yang palsu.
Mohd Nasir menetapkan jaminan RM15,000 dan tertuduh perlu menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula dan serahan dokumen pada 28 Nov.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..

