SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) komited dalam membantu lebih ramai golongan usahawan asnaf Selangor memajukan diri seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan.
Pengerusi Lembaga Pengarah TERAS, Datuk Ibrahim Md Yusof berkata Program Tranformasi Usahawan Asnaf Selangor sedikit sebanyak dapat membantu golongan itu menceburi bidang perniagaan dan berpotensi menjadi usahawan yang berjaya.
“Tahun ini LZS memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk membantu dengan memberi latihan, peralatan dan gerai jika mereka memerlukan tempat untuk membesarkan lagi perniagaan mereka.
“Seramai 1,000 orang yang menyertai program ini dan kami sasarkan seramai 200 orang akan keluar dari kategori asnaf tanpa perlu membayar balik modal yang telah kami berikan,” katanya ketika menyempurnakan program Transformasi Usahawan Asnaf 2018 di sini, hari ini.
Turut hadir pada program yang disertai seramai 250 usahawan asnaf itu ialah Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid.
Program anjuran bersama TERAS dan LZS itu merupakan satu landasan kepada usahawan asnaf membina kerjasama yang lebih luas dan memberi pendedahan tentang peluang pembiayaan kewangan serta pengembangan perniagaan daripada agensi lain.
Menurut Ibrahim, pihaknya dan LZS berharap bantuan yang diberikan akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan semangat usahawan asnaf untuk menuju ke arah perubahan serta mencipta kejayaan.
Dalam pada itu, Ahmad Basith berkata program ekonomi asnaf telah dimulakan sejak beberapa tahun lepas bagi memastikan golongan itu mendapat pulangan yang baik dalam ekonomi seterusnya menjadi penyumbang zakat kepada LZS apabila mereka berjaya.
“Pada tahun lepas, seramai 180 usahawan asnaf berjaya dibentuk menerusi bantuan perniagaan LZS yang kemudian mendapat bimbingan kursus bersesuaian dan pemantauan perniagaan oleh TERAS,” katanya. – BERNAMA