KUCHING – Jika beca sinonim dengan Melaka Bandar Raya Bersejarah, Perahu Tambang yang mengadakan perkhidmatan di Sungai Sarawak pula merupakan ciri unik di sepanjang Tebingan Kuching.
Di sepanjang satu kilometer Tebingan Kuching, terdapat beberapa jeti sebagai tempat bagi penambang mengambil dan menurunkan penumpang untuk menyediakan kaedah pengangkutan tradisional yang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong.
Seman Bujang Sidi, 68, dari Kampung Empila, Samarahan, mencari rezeki dengan mengendalikan perahu tambang sejak 30 tahun lepas, sekali gus menjadi bukti betapa perkhidmatannya terus diperlukan, walaupun kawasan di sepanjang sungai itu mengalami pembangunan pesat.
“Jelas sekali, pelancong lebih gemar menaiki sampan daripada menggunakan laluan darat untuk bersiar-siar. Walaupun perjalanan dengan sampan ini hanya mengambil masa beberapa minit, tetapi penumpang berasa teruja apabila berada di tengah-tengah sungai sambil menikmati keindahan bandar raya ini,” katanya kepada Bernama di Jeti Encik Omar di sini hari ini.
Perkhidmatan perahu tambang juga memberi peluang kepada seseorang untuk sampai ke perkampungan Melayu atau Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang terletak di Petra Jaya, di seberang sungai berkenaan.
Seman bagaimanapun berkata dia hanya mengendalikan perahu tambang lapan hari dalam sebulan untuk mencari pendapatan tambahan dan tidak menganggap perkhidmatan Grab atau teksi sebagai ancaman kerana perahu tambang merupakan satu daripada daya tarikan di Tebingan Kuching.
Menurutnya, pembinaan “Jambatan Emas” yang membolehkan pejalan kaki menyeberangi sungai dari bandar raya ini ke Petra Jaya juga tidak menjejaskan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan perahu tambang kerana pengendali sepertinya menjadi sebahagian daripada legasi Kuching.
“Bagaimanapun, kami tidak mendapat sebarang subsidi daripada kerajaan dan malah, kami membeli sendiri jaket keselamatan bagi menjamin keselamatan penumpang,” kata Seman sambil melahirkan harapan agar kerajaan dapat menyediakan peruntukan bagi membantu pengendali perkhidmatan itu menyenggara perahu masing-masing.
Sementara itu, Siti Nurzuhaidah, 27, pelancong dari Kuala Lumpur, berkata kali pertama dia menaiki perahu tambang merupakan pengalaman yang paling menarik dan sukar dilupakan.
“Pada mulanya, saya begitu takut untuk meletakkan kaki ke dalam perahu ini, tetapi setelah dipujuk tiga rakan saya, saya berjaya berada di dalam perahu dan sampai di Kampung Gersik, tempat untuk mendapatkan kek lapis yang begitu terkenal.
“Malam pertama saya di sini sungguh menakjubkan kerana kami berpeluang menyaksikan pelancaran acara Musical Fountain di Tebingan Kuching pada Ahad. Saya terkejut kerana mendapati Kuching memiliki daya tarikan yang begitu indah dan mempesona bagi pelancong … makanan di sini juga sungguh enak, tidak lupa juga, orang di sini amat mesra dan saya dapati Kuching memiliki keunikan tersendiri, terutama dari segi budaya” katanya. – BERNAMA