GEORGE TOWN – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Pulau Pinang meminta pihak kontraktor projek Jalan Bukit Kukus menambahbaik prosedur operasi yang lebih selamat susulan kejadian 14 rasuk konkrit sepanjang 25 meter setiap satu terjatuh di lereng cerun.
DOSH berkata permintaan itu dibuat selepas berlangsung satu sesi pembentangan oleh pihak kontraktor bagi mencari jalan penyelesaian, setelah arahan pemberhentian dikenakan kepada kontraktor utama projek itu.
“Selepas pembentangan, mereka diminta menambahbaik “method statement” dan “safe operating procedure” bagi pelaksanaan kerja dan mengenalpasti punca kemalangan bagi mengelak kejadian seumpama berulang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya pihak DOSH memandang serius kejadian berbahaya ini dan adalah menjadi tanggungjawab majikan dan kontraktor bagi mengenalpasti bahaya, menganalisa dan mengambil tindakan kawalan yang mencukupi bagi memastikan kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak kontraktor adalah selamat.
Katanya kejadian itu akan disiasat mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran akta oleh kontraktor terlibat semasa tempoh notis larangan masih lagi berkuatkuasa.
“Pihak kontraktor masih lagi dilarang bagi menyambung kerja-kerja berkaitan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Dalam kejadian Khamis lepas, 14 rasuk konkrit dilaporkan jatuh di lereng cerun Jalan Tun Sardon namun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakkan harta benda awam dilaporkan. – BERNAMA

