KUALA LUMPUR – Orang awam terutama penyelidik kini boleh memuat turun data satelit melalui laman web yang disediakan Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) menerusi laman web http://rsdc.remotesensing.gov.my.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.Yeo berkata ia merupakan usaha kerajaan mewujudkan perkongsian maklumat terbuka sebanyak mana yang mungkin kepada orang ramai bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan.
Beliau berkata menerusi ARSM, kerajaan sedia berkongsi data ini dan meminta agensi lain mencontohi langkah ARSM membuat ‘open data sharing’ tanpa menjejaskan keselamatan negara.
“Dengan adanya data ini, ia akan membantu penyelidik dalam memfokuskan kajian mereka dengan lebih terperinci,” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan tahunan ‘The 39th Asian Conference on Remote Sensing’ (ACRS 2018) anjuran Asian Association on Remote Sensing (AARS) di sini hari ini.
Menurutnya kerajaan turut menyediakan perkhidmatan menyewa peralatan saintifik bagi tujuan analisis data satelit.
“Kalau ada sesiapa yang ingin buat penyelidikan namun kekurangan dana, boleh sewa dengan kerajaan dengan bayaran rendah,” kata sambil menambah penyelidik dan pengusaha industri kecil sederhana boleh memanfaatkan inisiatif itu sekali gus meningkatkan produktiviti masing-masing.
Persidangan ACRS 2018 yang bermula hari ini, merupakan kali keempat dianjurkan di Kuala Lumpur selepas 1989, 1997 dan 2007.
Berlangsung sehingga 19 Okt dengan tema ‘Remote Sensing Enabling Prosperity’, persidangan itu menghimpunkan lebih 700 peserta dalam dan luar negara merangkumi pembuat dasar, saintis, anggota akademik dan juga pelajar universiti. – BERNAMA

