KOTA KINABALU — Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan setiausaha politik kepada menteri Kabinet negeri supaya menjalankan tugas dengan amanah serta memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan, menteri dan rakyat dengan penuh beretika.
Beliau berkata mereka juga perlu menerapkan kemahiran perhubungan awam terbaik serta berkomunikasi secara beretika ketika mewakili menteri masing-masing dalam bertemu dan menyelesaikan setiap permasalahan dihadapi rakyat.
Katanya setiausaha politik tidak hanya bekerja untuk parti politik masing-masing sebaliknya perlu memberi perkhidmatan cekap kepada semua lapisan masyarakat di Sabah.
“Lantikan ini (setiausaha politik) cukup penting bagi memastikan (mereka) menjadi antara penasihat politik utama kepada menteri.
“Bagaimanapun, bila menjawat jawatan ini bukan untuk bermegah tetapi mesti bekerja keras, dan dalam masa sama menjaga imej serta memikul tanggungjawab ini dengan sebaiknya,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Angkat Sumpah Setiausaha Politik di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, hari ini.
Mohd Shafie turut menasihatkan setiausaha politik supaya menjauhkan diri daripada gejala rasuah.
“Saya tidak akan melindungi mana-mana pihak terlibat (dalam gejala rasuah) kerana ia bukan hanya mencemarkan nama baik kementerian tetapi juga kerajaan. Justeru, galas tanggungjawab ini dengan bersih, cekap dan amanah,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 19 setiausaha politik kepada menteri Kabinet Sabah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Mohd Shafie diketuai oleh Ketua Setiausaha Politik, Jabatan Ketua Menteri Datuk Mohd Hisham Abd Fattah.
Turut mengangkat sumpah ialah empat setiausaha politik kepada Ketua Menteri iaitu Pg Roslan Pg Nasrun; Chak Wah Cheun; Adzhar Jasni dan Paul Kerangkas.
Lainnya ialah setiausaha politik kepada Menteri Kewangan Jo-Anna Sue Henley Rampas, setiausaha politik kepada Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah iaitu Albert Alex Bingkasan dan Joisin Romut; Raymond Ahuar dan Lee Mer Peng (setiausaha politik kepada Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah) dan Zulkiflee Allani dan Ali Jainal (setiausaha politik kepada Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah).
Selain itu, Jatil Junggok sebagai setiausaha politik kepada Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah; Phoong Jin Zhe (setiausaha politik kepada Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah); Utuh @ Rakam Sijim (setiausaha politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah); Rapahi Edris (setiausaha politik kepada Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah); Carlyle Lajimin (setiausaha politik kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah); Faizal Julaili (setiausaha politik kepada Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah); dan Liau Fui Fui (setiausaha politik kepada Menteri Belia dan Sukan Sabah). – BERNAMA
