SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menahan seorang pemandu lori tanah dan merampas 1,400 liter diesel bernilai RM92,645 dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Rasa, Kuala Kubu Baharu dekat sini, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Azman Adam berkata serbuan dilakukan pada kira-kira 8 malam oleh anggota penguat kuasa kementerian itu selepas menjalankan risikan di stesen minyak tersebut selama empat hari.
“Semasa serbuan, terdapat 11 tong dram digunakan untuk mengisi diesel tersebut namun hanya tujuh tong yang sempat diisi.
“Jika pemandu lori itu sempat mengisi kesemua tong tersebut maka jumlah minyak yang dipam keluar adalah sebanyak 2,200 liter,” katanya dalam sidang media di stor KPDNHEP di Seksyen 25 di sini, hari ini.
Beliau berkata, selain menahan lelaki berumur 30-an terbabit, pihaknya turut menyita sebuah lori tanah, kesemua tong dram dan invois pembelian.
Mengulas lanjut, Azman berkata siasatan akan dilakukan terhadap syarikat pemilik kenderaan itu dan ke mana diesel tersebut akan disalurkan.
“Kami akan memanggil pemilik syarikat minyak tersebut dan syarikat lori untuk memberi keterangan. Jika didapati mereka bersubahat kemungkinan lesen pemilik syarikat minyak itu digantung dan dibatalkan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pengusaha stesen minyak supaya mengamalkan etika dalam penjualan diesel kerana ia merupakan barang kawalan.
Jelas Azman, berdasarkan syarat lesen di bawah Akta Bekalan 1961, semua stesen minyak tidak dibenarkan menjual diesel melebihi 250 liter kepada setiap kenderaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda RM1 juta atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama individu, manakala denda RM3 juta dan penjara tiga tahun bagi kesalahan kedua.
Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda maksimum RM2 juta untuk kesalahan pertama manakala RM5 juta bagi kesalahan kedua. – BERNAMA

