JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas keluar menjala di sungai sebuah ladang di Kota Tinggi semalam ditemui orang awam, petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi Faiz Ramli berkata mangsa, Abd Farid Abdullah, 55, ditemui di darat tidak jauh dari kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mangsa ditemui kira-kira empat meter dari tebing sungai. Mangsa dipercayai terkena serangan jantung dan cuba naik ke darat sebelum meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt. Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan penemuan tersebut.
“Ya, mangsa ditemui pada 3.50 petang dan dibawa ke hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat,” katanya
Semalam, Abd Farid dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar menjala seorang diri di kawasan tersebut sebelum keluarganya melaporkan kepada pihak polis.
Operasi SAR dijalankan dengan kekuatan tiga anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang turut disertai enam anggota polis. – BERNAMA

