KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan hantar pasukannya ke Palu di Sulawesi, Indonesia yang terjejas akibat bencana gempa bumi dan tsunami sekiranya menerima permohonan daripada negara itu.
Panglima ATM, Jen. Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata buat masa ini tiada permohonan diterima daripada pihak Indonesia namun ATM sentiasa bersiap sedia.
“Apabila berlaku sesuatu bencana negara itu akan memohon dahulu dan sekiranya ada permohonan kita akan bantu.
“Sekarang ATM menguruskan pengangkutan barang-barang bantuan yang akan dihantar ke Palu,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Maal Hijrah Peringkat ATM 2018 di Masjid Khalid Al-Walid, hari ini.
Beliau berkata setakat ini sebuah pesawat A400M dan dua buah lagi pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diguna untuk menerbangkan bantuan kemanusiaan berupa makanan dan jentera berat.
“Pesawat A400M akan digunakan untuk mengambil barang bantuan kemanusiaan daripada mana-mana pihak sebelum ianya dihantar ke Balikpapan di Kalimantan.
“Kemudian pesawat C130 akan membawa barang itu ke Palu dari Balikpapan memandangkan pesawat A400M tidak dibenarkan mendarat kerana landasan di Palu sedikit rosak,” katanya sambil menambah 100 pegawai dan anggota terlibat dalam misi ini.
Gempa bumi bermagnitud 7.4 pada skala Richter disusuli tsunami melanda Sulawesi pada 28 September lepas dengan Palu dan Donggala paling teruk terjejas.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada 1,517 orang setakat pukul 6 petang, semalam.
Pada majlis hari ini, bekas Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia Datuk Seri Panglima Mohamad Roslan Mohamad Ramli menerima anugerah Wira Ma’al Hijrah 2018 peringkat ATM. – BERNAMA

