KUALA LUMPUR – Premis perniagaan di Mara Digital Mall Kuala Lumpur satu ketika dahulu meriah dengan pelanggan khususnya di tahun pertama operasi, kini suram bagai menanti hari-hari terakhir operasi.
Tinjauan Utusan Online mendapati, beberapa premis perniagaan turut ditutup dipercayai kerana menanggung kerugian. Premis yang masih beroperasi pula, pemiliknya masih setia menunggu dan terus berharap orang ramai akan hadir ke kompleks tersebut.
Peniaga Alia Osman, 26, berkata, kedainya yang dibuka sejak beberapa tahun lalu menerima kerugian sehingga 30 peratus akibat kurangnya pengunjung.
Bagaimanapun katanya, perniagaan hanya akan meningkat pada musim-musim tertentu misalnya ketika cuti sekolah dan pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selama tiga bulan sebelum ini.
“Memanglah ada keuntungan tetapi pelanggan ke Mara Digital Mall tidak seperti tahun pertama operasi. Kita mampu beroperasi sehingga hari ini tetapi keuntungan kita tidaklah sehebat dulu,” ujarnya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Mara Digital Mall diwujudkan khusus untuk peniaga Bumiputera, dilancarkan pada 8 Disember 2015 di Bangunan Mara, berdekatan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Menurut Alia, dia berharap Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina, Mohd Harun dapat melakukan sesuatu bagi merancakkan kembali kehadiran pengunjung sekali gus menggalakkan aktiviti jualan .
“Kita harap pemasaran di premis ini diperhebatkan lagi seperti tahun pertama diperkenalkan kepada umum termasuk penyebaran hebahan menerusi media memandangkan terdapat orang ramai yang menyangka Mara Digital Mall ini sudah tutup,” ujarnya.
Sementara itu, Noor Hasraff, 34, berkata, pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang menyebabkan harga telefon pintar semakin naik.
“Sebelum perlaksaan SST kami boleh menjual telefon dan aksesori telefon pintar dengan jumlah yang agak banyak dalam masa sehari tetapi sekarang Mara Digital makin tidak mendapat sambutan dan saya hanya boleh jual dua set telefon sahaja sehari.
“Secara jujur perkara ini menjejaskan sedikit perniagaan saya dengan harga yang semakin naik dan keadaan di sini seperti ‘mati’ susah untuk kami meneruskan perniagaan harian,” katanya.- UTUSAN ONLINE