KEMAMAN – Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu akan menggerakkan lebih 100 anggotanya bagi membantu kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata pihaknya memberi sokongan penuh kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding pada PRK itu atas semangat kesatuan dalam PH.
“Kita sedang susun jentera untuk membantu kempen di sana. InsyaAllah dalam dua tiga hari lagi jentera kita boleh turun dan bantu calon PH supaya menang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kijal di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mohammad Hamdan Wahid.
Raja Kamarul Bahrin, yang juga Pengerusi PH Terengganu, yakin Anwar mampu menang di kerusi Parlimen berkenaan.
Anwar berhadapan pertandingan tujuh penjuru antaranya melibatkan lima calon bebas seperti Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Mohd Saiful Bukhari Azlan serta calon PAS Mohd Nazari Mokhtar pada PRK yang dijadual berlangsung 13 Okt. – BERNAMA