KUCHING – Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negeri mengamalkan sukatan pelajaran Kokurikulum Standard Prasekolah (KSPK) yang disarankan Kementeri Pendidikan Malaysia.
Ketua Pengarah Kemas Malaysia, Datuk Amiruddin Ariffin berkata sukatan pelajaran berkenaan diguna pakai bagi memastikan Tabika dan Taska Kemas mencapai tahap terbaik dari semua aspek serta bertaraf antarabangsa.
“Sejajar dengan arus perdana dan untuk mencapai tahap pendidikan setaraf kualiti antarabangsa, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan, dengan mengkaji sistem yang diguna pakai oleh negara luar.
Begitu juga dengan beberapa modul yang diperkenalkan oleh Kemas, yang sentiasa mengambil kira sejauh mana tahap penerima pelajar terhadap modul tersebut dan keberkesanannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Pengarah Sumber Manusia dan Pentadbiran Kemas, Ahmad Johari Mohammad pada majlis perasmian penutupan Hari Potensi Kemas Peringkat Negeri Sarawak 2018 di sini, hari ini.
Tabika Kemas Merdang Lumut dari Zon 3 muncul juara dalam pertandingan Hari Potensi Kemas peringkat negeri 2018, sekali gus membolehkan mereka mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada 22 hingga 25 November ini di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.
Sejumlah 370 orang kanak-kanak Tabika Kemas seluruh Sarawak yang terpilih mewakili zon masing-masing telah bertanding dalam 11 kategori bakat yang dipertandingkan pada hari ini. – BERNAMA

