SABAK BERNAM – Kerajaan sedang meneliti semua faktor berkaitan isu pemotongan dan pemutuan padi dengan lebih telus bagi menyantuni rungutan para pesawah yang tinggi terhadap masalah itu.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata kebajikan golongan tersebut sentiasa diambil peduli dan disebabkan itu, pihaknya sedang menyusun langkah terbaik bagi menyelesaikan isu berkenaan secara lebih holistik.
“Memang dari segi perjuangan untuk pesawah, kita semacam bersetuju dengan potongan pemutuan 17 peratus (kadar yang sedang diguna pakai), tapi pasti ada faktor lain (yang menyumbang kepada kadar potongan) dan kementerian mesti melihatnya dengan lebih telus.
“Jika padi di seluruh negara dihasilkan dengan lebih bermutu iaitu isu hasil padi hijau atau muda kurang, ia sudah pasti boleh mengurangkan kadar pemotongan dan pemutuan padi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Belian Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pasir Panjang, di Parit 7, Sungai Leman, Sekinchan, di sini hari ini.
Disebabkan itu kata Salahuddin, kerajaan amat menggalakkan para pesawah supaya lebih berdaya saing dan sentiasa berusaha untuk menghasilkan padi yang lebih berkualiti melalui amalan pertanian baik.
Bagi menyokong langkah itu katanya, kementerian akan menambah baik teknologi pertanian supaya hasil tanaman padi mencapai piawaian sewajarnya selain memberi latihan terkini kepada pesawah bagi melengkapkan mereka dengan pelbagai pengetahuan dalam sektor itu.
Mengulas mengenai insentif dan subsidi kepada golongan petani dan pesawah yang pernah diberi sebelum ini, Salahuddin berkata ia tetap diteruskan malah bantuan seperti baja dan racun akan ditingkatkan kualitinya supaya tanaman dapat dihasilkan dengan lebih baik.
“Kami akan buat proses pemutihan terhadap penerima subsidi supaya bantuan yang diberi terus sampai kepada golongan sasar. Kami mahu elakkan berlakunya ketirisan penyaluran bantuan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Dalam hal ini juga, kami akan teliti mana-mana teknologi daripada agensi di bawah kementerian yang boleh dipertingkatkan supaya baja dan racun dibuat berkualiti tinggi,” katanya. – BERNAMA

