NEW YORK – Amerika Syarikat akan menambah jumlah bantuan kemanusiaan ke atas pelarian Islam Rohingya di Bangladesh dan Myanmar sebanyak dua kali ganda, kata Duta negara itu ke Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley, semalam.
Operasi ketenteraan Myanmar di Rakhine tahun lalu selepas serangan militan Rohingya terhadap pos kawalan polis dan tentera menyebabkan lebih 700,000 penduduk minoriti Myanmar itu melarikan diri ke Bangladesh.
Penyiasat lantikan PBB berkata, pihak tentera telah melakukan pembunuhan besar-besaran dan merogol golongan wanita Rohingya dengan tujuan menghapuskan mereka.
Myanmar menepis dakwaan itu dengan berkata ia adalah kenyataan sebelah pihak dan menegaskan operasi terbabit dijalankan secara sah mengikut undang-undang untuk membanteras pengganas.
“Kami menyeru kerajaan Myanmar untuk menghukum pihak bertanggungjawab dalam penghapusan etnik ini, mengakhiri keganasan dan membenarkan misi kemanusiaan secara menyeluruh serta kebebasan akses media,” kata Haley dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, AS akan memberi tambahan dana berjumlah AS$185 juta (RM764 juta) dengan AS$156 juta (RM644 juta) akan disalurkan kepada pelarian dan komuniti penganjur di Bangladesh, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak AS$389 (RM1.6 bilion) termasuk yang diberikan sejak tahun lalu.
“AS akan bermurah hati terhadap sesiapa sahaja yang berkongsi nilai murni kami, pihak yang mahu bekerjasama dengan kami dan pihak yang tidak cuba untuk menghentikan atau membenci Amerika,” katanya kepada media. – Reuters/BH ONLINE

