KANGAR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kekal di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), kata Pengarah Bahagian Perancangan Dasar dan Penyelarasan agensi itu, Norhafifi Ismail.
Beliau berkata berdasarkan maklumat diterima pihaknya, APM akan terus berperanan sebagai Sekreteriat Pengurusan Bencana (SPB) peringkat negeri dan daerah di bawah JPM.
Katanya, sebelum ini APM pernah berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), namun tidak bertanggungjawab sebagai SPB.
Baru-baru ini di Parlimen, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata langkah meletakkan APM di bawah KDN adalah wajar kerana ia merupakan sebahagian daripada agensi keselamatan negara yang turut memberi perhatian tentang isu keselamatan dan ketenteraman awam.
Norhafifi berkata pengambilan anggota juga masih diteruskan namun jumlahnya bergantung kepada kemampuan kewangan agensi itu.
“Setakat ini keanggotaan APM sudah mencapai lebih dua juta anggota sukarela, hampir kepada sasaran kita iaitu tiga juta anggota,” katanya. – BERNAMA

