PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini membentangkan laporan penuh berhubung isu permohonan 63 pelajar bagi mendapatkan biasiswa JPA untuk mengikuti pengajian di luar negara ke Kabinet, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
“Saya telah melaksanakan peranan saya dan mereka (JPA) telah melaksanakan peranan mereka,” katanya, sambil menambah JPA akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu.
Maszlee berkata beliau telah mengemukakan pandangannya mengenai isu itu pada mesyuarat Kabinet pada 5 Sept lepas.
Dilaporkan 63 pelajar tersebut memohon biasiswa daripada JPA untuk mengikuti pengajian di luar negara. Mereka telah menyerahkan petisyen tiga bulan lepas dan dimaklumkan mereka perlu menunggu bagi kertas laporan dibentangkan kepada Kabinet.
Pelajar itu bagaimanapun dilaporkan tidak menerima sebarang maklum balas daripada JPA, selepas jabatan itu menyatakan pihaknya sedang menunggu untuk membentangkan kertas laporan kepada Kabinet.
Maszlee berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meraikan Pasukan Ragbi Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan, Selangor yang dikenali sebagai Lanjan Tigers yang terdiri daripada murid Orang Asli di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau turut menyampaikan sumbangan berupa kelengkapan sukan kepada pasukan itu dan menzahirkan harapan agar pemain Lanjan Tigers yang merupakan satu-satunya pasukan ragbi dalam kalangan murid Orang Asli di Selangor dapat diberikan peluang lebih besar untuk lebih berjaya pada masa hadapan.
Sebagai langkah sokongan, Maszlee, yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata beliau telah meminta pegawainya berhubung dengan pengurusan pasukan ragbi UIAM bagi memberi tunjuk ajar kepada pemain Lanjan Tigers selain membawa mereka berlatih di UIAM.
Ditubuhkan pada 2015, Lanjan Tigers yang diwakili murid Orang Asli dari suku Temuan telah mencatat pelbagai kejayaan antaranya johan Cup Wawasan Invitational 7s Cup bawah umur 10 tahun peringkat kebangsaan dan johan kategori Bowl Kejohanan Ragbi Rimau Lavender – KGV Jr7s Kebangsaan pada 2017. – BERNAMA
