IPOH – Atlet pelapis kebangsaan, Goh Chia Tong menamatkan kemarau 18 tahun pingat emas skuad renang Melaka pada Sukan Malaysia (SUKMA) menerusi acara 200 meter (m) kuak lentang wanita pada edisi ke-19 Perak di Pusat Akuatik Tuanku Zara, hari ini.
Kali terakhir skuad renang Melaka memenangi pingat emas pada SUKMA 2000 menerusi Abdul Hafiz Salleh menerusi acara 200m kuak dada lelaki.
Goh melakukan catatan masa terpantas, dua minit 25.53 saat (s) menewaskan perenang Selangor, Rosalind Pang dengan catatan masa 2:25.63s yang meraih pingat perak manakala perenang Johor, Ong Yong Qi meraih gangsa dengan catatan 2:28.32s.
Bagaimanapun catatan masa yang dilakukan perenang berusia 15 tahun itu tidak dapat mengatasi catatan masa peribadi terbaik 2:23.00s yang dilakukan pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia, Mei lalu.
Goh ketika ditemui berkata beliau terkejut apabila mengetahui pencapaiannya itu menamatkan penantian kontinjen Melaka dalam meraih pingat emas dalam acara renang.
“Saya memang mahu menang emas dalam acara ini, tapi tidak sangka menamatkan kemarau 18 tahun emas buat Melaka. Tahun 2000, saya belum lahir.
“Kejayaan ini pasti bermakna buat Melaka dan menambahkan semangat saya untuk meraih satu lagi emas selepas ini,” katanya kepada pemberita.
Goh berkata kejayaan itu juga menebus kekecewaannya yang meraih pingat gangsa di Sarawak dua tahun lalu dan tiada sebarang pingat dicapai pada penampilan pertamanya di SUKMA Perlis 2014. – BERNAMA