KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mempunyai kad laporan yang sangat baik untuk ditunjukkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sejak beliau mengambil alih kepimpinan negeri ini pada 28 Feb tahun lepas.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis berkata sokongan rakyat negeri ini kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) “adalah sangat baik.”
Bercakap pada sidang akhbar di sini, beliau berkata terdapat sambutan amat menggalakkan terhadap dasar dan pendirian tegas Adenan mengenai isu-isu seperti membanteras rasuah dan pembalakan haram.
“Saya harap trend ini akan berterusan sehinggalah Sarawak mengadakan pilihan raya negeri akan datang, yang tarikhnya bakal ditentukan Najib dan Adenan,” kata Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN.
Mengenai lawatan dua harinya bermula hari ini, beliau berkata ia bertujuan meninjau keadaan di negeri ini. – BERNAMA