SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo tiba di Pakistan hari ini dalam usaha memulihkan hubungan antara kedua-dua negara.
Beliau akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Imran Khan.
Hubungan Washington-Islamabad keruh kerana negara Asia Selatan itu dituduh melindungi militan Taliban Afghanistan, tuduhan yang dinafikan oleh Pakistan.
Setakat ini, pentadbiran Trump telah menghentikan bantuan keselamatan bernilai lebih daripada AS$1 bilion kepada Pakistan.
Pompeo kemudian akan ke India selepas selesai lawatan dua hari ke Islamabad.
Pegawai Pakistan berkata kebanyakan wang bantuan yang digantung oleh AS ialah bayaran balik perbelanjaan yang telah dikeluarkan untuk memerangi militan.
Sejurus sebelum menaiki pesawat, Pompeo berkata telah berlaku banyak perubahan dalam hubungan AS-Pakistan tetapi beliau optimis perubahan boleh berlaku di bawah kepimpinan baharu.
“Pemimpin baharu di sana, mahu memulakan langkah memulihkan hubungan antara dua negara,” katanya.
Pompeo juga akan bertemu pemimpin tentera Pakistan yang berpengaruh, Qamar Javed Bajwa.
AS mendakwa Pakistan tidak menghalang atau menyokong militan Taliban Afghanistan dan rangkaian Haqqani yang melancarkan serangan di wilayah Afghanistan dan Pakistan.
Pakistan telah membenarkan wilayahnya digunakan untuk membekalkan keperluan tentera pakatan Barat melawan al-Qaeda.
Penganalisis berkata Pakistan masih terus membantu militan Afghanistan.
Setiausaha negara AS itu juga dijangka berbincang dengan Pakistan tentang rancangan negara itu meminta bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk membantu mengelakkan krisis ekonomi.
Julai lalu Pompeo berkata tidak ada sebab yang rasional untuk IMF memberikan dana kepada Pakistan yang kemudian akan digunakan untuk membayar pinjaman China.
Di India, Pompeo dijangka menekan New Delhi supaya menghentikan pembelian minyak dari Iran dan sistem pertahanan udara dari Rusia.
AS juga dijangka menyempurnakan perbincangan untuk kerjasama ketenteraan lebih rapat dengan India. – BBC

