JOHOR BAHRU – Sebanyak 5,000 premis di negeri ini diperiksa dalam Ops Catut 5.0 yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri sejak bulan lalu.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Johor Aris Mamat berkata menerusi gerak gempur terbabit, sebanyak 119 harga barangan melibatkan pelbagai jenis barangan harian pengguna ditinjau dan direkod bagi melihat kesan kenaikan harga barangan sebelum dan selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Katanya, operasi melibatkan sektor pengilang, pengedaran dan pemborong itu dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor bagi memastikan harga barangan terkawal selepas pelaksanaan SST.
“Pihak KPDNHEP juga akan melihat dan memastikan tiga peringkat ini iaitu pengilang, pengedar dan pemborong tidak meletakkan harga yang tidak munasabah untuk mengaut keuntungan yang berlebihan.
“Jika berlaku kenaikan harga yang tidak sepatutnya, KPDNHEP akan mengeluarkan Notis 21 (Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011) dan pihak terbabit perlu membalas notis ini dalam tempoh lima hari atau tindakan seterusnya akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di Super Food Specialist (M) Sdn Bhd di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aris berkata pihaknya menerima 25 aduan berhubung kenaikan harga barang selepas pelaksanaan SST sejak 1 Sept lepas, namun, kesemua aduan berkenaan adalah disebabkan kekeliruan pengguna antara Cukai Perkhidmatan dan Caj Perkhidmatan yang dikenakan.
“Aduan berkenaan ialah berhubung Caj Perkhidmatan enam peratus yang dikenakan dalam sektor perhotelan dan makanan yang menimbulkan kekeliruan kepada pengguna. Bagaimanapun, tiada sebarang notis atau tindakan dikeluarkan pihak kami,” katanya.
Beliau berkata sebarang pertanyaan dan aduan berhubung harga serta aktiviti pencatutan boleh disalurkan kepada KPDNHEP Johor dengan mengemukakan bersama keterangan aduan jelas, butiran lengkap berkaitan alamat tempat diadu, barangan dan harta serta resit pembelian bagi memudahkan siasatan dilakukan.
Ops Catut 5.0 membabitkan 200 anggota penguatkuasa di seluruh negeri dan ia dilakukan secara berkala bersama JKDM yang memberi penekanan kepada pelaksanaan kutipan cukai, katanya. – BERNAMA

