TASIK KENYIR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mahu sektor pelancongan desa terus dirancakkan bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan luar negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.
Menterinya, Rina Mohd Harun berkata masyarakat desa perlu mengambil peluang berkenaan memandangkan terdapat banyak tempat menarik di desa-desa dalam negara ini yang jika dimajukan dapat menjana pendapatan ekonomi masyarakat setempat sekaligus mencapai sasaran pelancong desa seramai sejuta orang setahun.
“Di Tasik Kenyir misalnya, aktiviti pelancongan kini dikuasai aktiviti memancing dengan kemudahan kira-kira 90 rumah bot, 110 bot laju dan 112 bot rekreasi.
“Ada di kalangan pengusaha rumah bot berkenaan mampu mencapai pendapatan hingga RM30,000 sebulan manakala pengusaha kedai makan sekitar kawasan itu boleh mencecah RM45,000 sebulan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kenyir di Pengkalan Gawi, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim dan Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail.
Rina dalam pada itu berkata KPLB sedia memberikan bantuan dalam bentuk dana kepada usahawan yang berpotensi menjalankan perniagaan berkaitan menerusi kerjasama agensi berkaitan.
“Kita akan lihat dan cuba memperincikan bagaimana bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada usahawan-usahawan ini.
“Paling penting semangat keusahawanan dan setiap pengusaha perlu mempunyai kreativiti tersendiri seperti tarikan rumah bot dari segi hiasan dan ada karekter yang unik,” katanya.
Terdahulu Omar dalam ucapannya berkata dalam usaha berterusan Ketengah membantu masyarakat setempat kini merancang membangunkan projek inap desa di Kampung Basung dan Pasir Dula sebagai satu lagi tarikan pelancongan sekitar Tasik Kenyir selain aktiviti di air.
“Inap desa ini amat sesuai bagi mengetengahkan pengalaman tinggal bersama masyarakat di kampung-kampung sekitar.
“InsyaAllah KPLB akan meneliti perkara ini bagi melihat kesesuainnya dalam usaha memberi faedah kepada penduduk luar bandar,” katanya. – BERNAMA

