IPOH – Tiga sekeluarga direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pemerdagangan 18 warga asing melalui eksploitasi kerja paksa yang telah diselamatkan dalam serbuan di sebuah kilang, di Kepayang, di sini, semalam.
Perintah reman sehingga 3 Sept itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Salwa Ja’afar di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ketiga-tiga suspek wanita berusia antara 20-an hingga 40-an yang dipercayai pemilik premis itu ditahan di kilang berkenaan, kira-kira pukul 9.15 pagi semalam.
Semalam, kesemua warga asing yang terdiri daripada 12 lelaki Bangladesh, lima lelaki serta seorang perempuan warganegara Myanmar berumur dalam lingkungan 20-an hingga 40-an itu diselamatkan menerusi serbuan yang dilakukan terhadap premis itu oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM 2007), Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan membenarkan warganegara asing bekerja tanpa permit kerja yang sah dan Seksyen 36 Akta Senjatapi 1960 kerana memiliki senjata tiruan. – BERNAMA

