KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggotanya yang didapati melanggar perintah dan peraturan termasuk tiga anggota pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didakwa masih berkhidmat dengan mantan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Bahagian Hal Ehwal Awam Markas ATM dalam satu kenyataan media berkata, Kementerian Pertahanan telah melakukan siasatan keatas ketiga-tiga anggota pasukan khas ATM terbabit bagi menyahut kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengenai mereka baru-baru ini.
“ATM juga akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan semua anggota yang masih berkhidmat tidak melaksanakan apa jua tugasan dengan pihak yang tidak mempunyai hak dan kaitan berdasarkan peraturan semasa.
“Dalam masa yang sama, tindakan yang tegas akan diambil ke atas mana-mana anggota sekiranya mereka didapati melanggar perintah dan peraturan semasa,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Awam Markas ATM memaklumkan, kesemua anggota Pasukan Khas ATM terbabit telah ditamatkan tugas sebagai pengiring rapat kepada mantan Menteri Pertahanan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.
Semalam, Menteri Pertahanan yang juga Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu mengarahkan kementeriannya melakukan siasatan dan mengambil tindakan keatas tiga anggota Pasukan Khas ATM yang masih berkhidmat dengan Hishammuddin.
Ketiga-tiga anggota itu didakwa masih menerima gaji daripada ATM selain daripada Hishammuddin sendiri.
Hishammuddin dalam reaksinya berhubung kontroversi itu mengakui anggota pasukan khas ATM terbabit masih menjadi pegawai pengiringnya, tetapi hanya berkhidmat untuk sementara waktu sahaja.
Bagaimanapun, beliau sudah menawarkan mereka untuk bekerja dengannya sekiranya mereka meletak jawatan daripada ATM kerana mereka telah berkhidmat dengannya dan amat rapat dengan keluarga beliau. – MYNEWSHUB.TV

