PALEMBANG – Masalah yang dihadapi terhadap lorong pada permainan kelima menyebabkan skuad boling negara terlepas peluang meraih pingat emas dalam acara enam sepasukan wanita pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, kata ketua pasukan Shalin Zulkifli.
Atlet berusia 40 tahun itu yang membuat penampilan ketujuh pada Sukan Asia, berkata mereka sudah memberikan aksi 120 peratus untuk memenangi pingat emas, namun terpaksa berpuas hati dengan perak dalam acara itu yang berlangsung di Pusat Boling Jakabaring hari ini.
“Sudah tentu, kami sedikit kecewa, tetapi kadang-kadang anda tidak dapat mencapai apa disasarkan selepas mempamerkan prestasi terbaik, jadi tidak ada penyesalan dengan keadaan itu. Pada permainan kelima, kita mempunyai dua lorong yang tidak bagus, banyak daripada kami mendapat perpecahan pada jatuhan pin.
“Saingan agak sengit hari ini, jadi apabila anda berhadapan dengan situasi itu, anda hanya cuba menjatuhkan seberapa banyak pin. Nasib tidak menyebelahi kami hari ini,” kata Shalin yang sudah memenangi empat pingat emas, tiga perak dan dua gangsa pada Sukan Asia, selepas majlis penyampaian hadiah itu.
Pasukan negara yang diperkuatkan Shalin, Sin Li Jane, Esther Cheah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Natasha Roslan meraih perak selepas mencatat 8,149 jatuhan pin, manakala pasukan Korea Selatan terdiri daripada Baek Sungja, Han Byul, Kim Hyun Mi, Lee Yeonji, Ryu Seoyeon dan Lee Nayoung memenangi emas dengan melakukan 8,338 jatuhan pin.
Pasukan Taiwan yang dibarisi Pan Yu-Fen, Chou Chia-Chen, Tsai Hsin-Yin of Chinese, Chang Yu-Hsuan, Wang Ya-Ting dan Huang Chiung-Yao membawa pulang pingat gangsa selepas mencatat 7,969 jatuhan pin.
Malaysia hanya memenangi pingat emas acara berpasukan (sebelum ini lima sepasukan) semasa edisi 2006 di Doha, menyaksikan Esther dan Shalin adalah dua pemain yang masih kekal dalam skuad, manakala pada edisi 2010 di Guangzhou, pasukan negara meraih gangsa.
Sementara itu, jurulatih negara Holloway Cheah berkata anak buahnya sudah berjuang habis-habisan untuk memenangi emas, namun keadaan lorong yang mengelirukan menyebabkan mereka terlepas peluang meraih pingat tersebut.
“Dalam keadaan tertentu, saya sedikit kecewa, tetapi kita sudah berusaha memberikan yang terbaik. Mereka bermain dengan baik tetapi masih tidak dapat mengatasi keadaan lorong itu. Pasukan Korea Selatan juga tidak beraksi dengan baik pada lorong tersebut,” katanya.
Beliau seterusnya berharap skuad lelaki negara dapat menampilkan prestasi terbaik dalam acara enam sepasukan esok, walaupun bakal berdepan cabaran getir.
Syaidatul Afifah dan Natasha berjaya beraksi dalam acara Masters pada Ahad dan Isnin ini, selepas muncul dua pemain terbaik Malaysia dalam acara trio dan berpasukan dengan masing-masing mencatat keseluruhan 2,918 dan 2,828 jatuhan pin. – BERNAMA