SEPANG — Taekwando mahu sukan itu dipertimbangkan kembali berada di dalam kelompok sukan teras kebangsaan sedia ada.
Ketua jurulatih Yap Yih Ting berkata berdasarkan pencapaian pingat di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 menerusi atlet wanita Yap Khim Wen yang memenangi gangsa bagi kategori pomsae, hasrat itu perlu dipertimbangkan pihak berkaitan.
“Taekwando telah menepati sasaran pingat (gangsa) ditetapkan di mana ia sesuatu yang penting untuk diberikan perhatian sepenuhnya.
“Kedua-dua pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) perlu memikirkan kesemua aspek tersebut untuk kembali memasukkan sukan ini dalam sukan teras,” katanya selepas ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sejurus tiba dari Indonesia.
Tambahnya, dengan pertimbangan yang bakal dilakukan kedua-dua pihak itu diharap dapat membantu sukan taekwando termasuk daripada segi kewangan untuk mencapai kemajuan dalam saingan peringkat kompetitif akan datang.
Sukan Taekwando tahun lalu digugurkan Majlis Sukan Negara (MSN) daripada kelompok sukan teras disebabkan prestasi yang tidak memuaskan, masalah doping dan percakaran dalam persatuan.
Dalam aksi Sukan Asia 2018, skuad taekwando tidak diletakkan harapan tinggi, namun atlet taekwando wanita Yap Khim Wen melakar kejutan apabila menghadiahkan pingat sulung buat negara pada temasya itu. — BERNAMA