KUALA LUMPUR – Perang dagangan yang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dengan China mungkin membawa sedikit manfaat kepada industri peruncitan di negara ini.
Presiden Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Datuk Seri Garry Chua, berkata jika perang dagangan itu semakin memuncak, banyak syarikat China akan memindahkan kilang mereka ke negara ini.
“Ia berikutan dasar mesra perniagaan yang diamalkan di negara ini dan ia boleh menjadi satu manfaat kepada kami. Bagaimanapun, secara umumnya, perang dagangan itu tidak akan memberi kebaikan kepada kedua-dua negara yang terbabit sekiranya ia terus berpanjangan.
“Di China, mereka kini berada di ambang kegawatan dan sekiranya ia berterusan, Malaysia juga akan mengalami tempiasnya kerana jumlah eksport ke sana berkurangan,” katanya pada sidang media sempena pengumuman mengenai pembabitan ahli strategi politik dan korporat terkemuka AS, David Morey, pada majlis MRCA CEO Night kali ke-11 di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pengerusi Bersama Penganjur MRCA CEO Night 2018 iaitu Datuk Dr Edmund Lee dan Jason Woo.
Sementara itu, mengulas mengenai pembabitan Morey dalam majlis berkenaan, Chua berkata pengasas dan Pengerusi DMG Global itu juga dilantik sebagai pengucaptama bagi majlis berkenaan tahun ini.
Katanya, Morey akan berkongsi pandangan mengenai perancangan strategik, pengurusan kempen, pembangunan isu, hubungan kerajaan, tinjauan undang-undang dan beberapa topik lain.
“Kesemua topik yang bakal dibincangkan adalah berdasarkan fokus beliau dalam kemampuan strategik dan pencapaiannya dalam pembinaan semula jenama dan mengembalikan semula reputasi,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 2007, MRCA CEO Night menyediakan saluran kepada pemimpin perniagaan di samping mendapat pandangan daripada pemimpin ternama dalam pelbagai industri seperti Tan Sri AK Nathan, Datuk Idris Jala, Tan Sri Vincent Tan dan Tan Sri Dr Lim Wei Chai.
INFO
* MRCA yang ditubuhkan pada 1992 adalah persatuan bagi rangkaian peruncit dan francaisor termasuklah jenama seperti Poh Kong, Secret Recipe, Focus Point dan Senheng – BH Online