KUALA LUMPUR – Seorang juruterbang Singapore Airlines (SIA) maut dalam kemalangan selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya merempuh belakang sebuah kereta di Jalan Cheras, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata kejadian dipercayai berlaku pada jam 4.23 petang.
“Mangsa, Eugene Benard Wang,46, menunggang motosikal jenis Ducati 1299 dari Jalan Cheras menghala ke Kajang, namun sebaik tiba berhampiran bulatan Cheras mangsa memotong sebuah motosikal.
“Bagaimanapun ketika menuruni bukit di jalan berkenaan, mangsa gagal mengelak sebelum melanggar belakang sebuah kereta,” katanya ketika dihubungi.
Zulkefly berkata, Benard Wang yang maut di tempat kejadian adalah warga tempatan dan bekerja sebagai juruterbang di SIA.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati lokasi kemalangan di jalan bandaran dengan dua lorong laluan.
“Keadaan jalan sedikit menuruni bukit, tetapi trafik lancar pada sebelah petang dan mulai sesak apabila menuruni bukit berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH Online

