JAKARTA – Lokasi pusat hiburan di Jakarta Selatan yang mendapat jolokan sebagai Little Jepun di kawasan Blok M sunyi, selepas insiden atlet Jepun dihantar pulang setelah didapati melanggan pelacur tempoh hari.
TEMPO.CO melaporkan, biasanya sekitar pukul 11 malam lokasi berkenaan yang terdapat deretan pusat karaoke dan bar itu akan sesak dengan pengunjung, namun kini situasi itu berbeza dengan hanya beberapa buah restoran sahaja yang masih dibuka.
Selain sambutan Hari Raya Aidiladha kejadian yang melibatkan atlet Jepun yang menyertai acara Sukan Asia berlangsung di Jakarta dan Palembang ditangkap melanggan pelacur dan terus dihantar pulang telah menyebabkan kawasan berkenaan lengang.
Empat pemain bola keranjang Jepun itu didapati telah membayar perkhidmatan seks di Blok M ketika masih memakai jersi pasukan.
Ketua Delegasi Jepun, Yasuhiro Yamashita, berkata, empat atlet itu Yuya Nagayoshi, Takuya Hashimoto, Takuma Sato, and Keita Imamura telah keluar dari perkampungan atlet untuk makan di restoran Jepun di Little Tokyo, Blok M.
Bagaimanapun atlet berkenaan tidak pulang ke perkampungan atlet selepas itu, sebaliknya telah bermalam di hotel berhampiran sehingga pagi.
“Ini melanggar disiplin dan kami memohon maaf kepada seluruh rakyat Jepun,” kata Yamashita.
Berikutan itu Jepun telah mengarahkan empat atlet itu pulang dan terpaksa menanggung kos penerbangan masing-masing.
Ekoran itu juga Polis Daerah Pamong Praja Jakarta Selatan telah mengadakan serbuan dan memberkas 20 wanita pekerja seks komersial serta ditahan untuk siasatan lanjut. – UTUUSAN ONLINE