JAKARTA – Status juara dunia yang dipegang atlet wushu negara, Wong Weng Son jelas tidak membantu beliau yang gagal melakar keputusan positif pada hari pembukaan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Indonesia, hari ini.
Pemenang pingat emas Kejohanan Dunia 2017 itu sekadar menamatkan saingan di tempat kesembilan daripada 17 peserta dengan kutipan 9.59 mata dalam acara Changquan lelaki pada aksi di Dewan B, Expo Antarabangsa Jakarta.
Seorang lagi wakil negara, Yeap Wai Kin pula menduduki tangga kelapan dengan kutipan 9.63 mata.
Pingat emas dimenangi atlet China, Sun Peiyuan yang mengumpul 9.75 mata, disusuli atlet tuan rumah, Marvelo Edgar Xavier, perak (9.72 mata) manakala wakil Taiwan, Tai Tsemin terpaksa berpuashati dengan kutipan gangsa dengan catatan 9.70 mata.
Weng Son yang ditemui pemberita Malaysia selepas aksi berkenaan mengakui kesilapan ketika melakukan pendaratan menjadi punca beliau gagal meraih kutipan mata yang lebih baik.
“Walaupun ini bukan acara yang dimenangi saya pada Kejohanan Dunia 2017, saya tetap berpuashati dengan persembahan saya, namun kesilapan saya ketika mendarat mungkin menjejaskan kutipan markah saya,” kata anak jati Negeri Sembilan itu.
Weng Son memaklumkan beliau berharap dapat menebus kekecewaan hari ini dengan cuba meraih keputusan positif pada edisi kedua Taolu Piala Dunia di Myanmar dari 18-24 Nov ini dalam dua acara iaitu Qiangshu dan Jianshu.
Acara wushu Sukan Asia 2018 yang membuka gelanggang hari ini akan berakhir pada 23 Ogos ini. – BERNAMA