WASHINGTON – Bekas pembantu Rumah Putih yang juga peserta program realiti, Omarosa Minigault Newman semalam, mendedahkan rakaman suara, bagaimana beliau dipecat ketika ditemubual sebuah stesen televisyen.
Rakaman itu mendedahkan bahawa beliau turut menyimpan beberapa rakaman lain ketika masih berkhidmat dengan pentadbiran Trump.
Omarosa yang dipecat dari Rumah Putih pada Disember lalu membuat pendedahan itu bersempena pelancaran bukunya, ‘Unhinged: An Insider Account of the Trump White House’, yang mendedahkan secara terperinci pengalaman beliau ketika bertugas dengan pentadbiran Trump.
Rakaman itu antara lain memaparkan kejadian Ketua Kakitangan Rumah Putih, John Kelly bercakap dengan Omarosa mengenai pemecatannya di dalam bilik situasi.
“Kami mahu bercakap dengan kamu mengenai pemecatan kamu dari Rumah Putih.
“Adalah penting untuk kamu faham bahawa jika kamu berhenti secara baik, kamu tidak akan berdepan sebarang masalah membabitkan reputasi pada masa depan,” kata Kelly sambil menegaskan tindakan itu disebabkan oleh isu integriti.
Ketika ditanya wartawan mengenai kekerapan beliau merakam perbualannya sepanjang berkhidmat untuk Presiden Donald Trump, Omarosa berkata: “Ini adalah Rumah Putih, semua orang menipu, jadi kita perlu melindungi diri kita.”
Jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders menyelar pengakuan bekas pembantu Trump itu dan menyifatkan kakitangan yang meletakkan peranti rakaman di dalam bilik situasi, adalah seorang yang tidak mengendahkan hal ehwal keselamatan negara.
“Beliau berbangga dengan perbuatannya dan mendedahkannya di televisyen, sekali gus membuktikan betapa rendahnya karakter dan integriti bekas kakitangan Rumah Putih ini,” kata Sanders dalam satu kenyataan. – Reuters/BH ONLINE