SUNGAI PETANI – Penyusuan susu ibu secara eksklusif pada bayi baharu lahir hingga berusia enam bulan di Kedah telah meningkat mendadak daripada 12.6 peratus pada 2010 kepada 66.9 peratus pada 2017.
Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata peningkatan yang berlaku disebabkan tahap kesedaran kaum ibu di negeri itu semakin meningkat hasil promosi amalan penyusuan susu ibu yang dijalankan JKN Kedah secara menyeluruh sebelum ini.
Katanya bagi memastikan trend itu berterusan, pihaknya telah merangka beberapa strategi untuk menyokong amalan tersebut seperti menubuhkan Persatuan Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu Negeri Kedah (PKSPK) yang sentiasa menjadi rujukan golongan wanita berkaitan penyusuan susu badan.
Selain itu, beliau berkata JKN turut akan memperluaskan ‘Inisiatif Rakan Bayi’ kepada klinik-klinik kesihatan di negeri ini dan tidak hanya melibatkan hospital-hospital kerajaan.
“Kita dah ada 54 buah klinik kesihatan yang telah berjaya mendapat pengiktirafan ‘Klinik Rakan Bayi’ dan ianya akan diperluaskan untuk semua pihak berasa bertanggungjawab dalam penjagaan kesihatan ibu dan anak serta mempromosikan amalan-amalan penyusuan susu ibu secara meluas.
“JKN Kedah menggalakkan lebih banyak hospital swasta diiktiraf sebagai ‘Hospital Rakan Bayi’…selain itu JKN Kedah dari masa ke semasa mengemaskini Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan bagi melindungi para ibu daripada pengaruh promosi produk gantian susu ibu yang agresif,” katanya dalam ucapan pada majlis Perasmian Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2018 peringkat negeri Kedah di sini hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan isteri Menteri Besar Kedah Toh Puan Norzieta Zakaria.
Teks ucapan Dr Norhizan dibacakan Timbalan Pengarah Kesihatan Kedah (Kesihatan Awam) Dr Kamariah Hussain.
Dr Norhizan berkata penyusuan susu ibu secara optimum boleh membantu mencegah masalah kekurangan zat makanan kepada bayi dan kanak-kanak selain menjadi pelengkap nutrisi yang diperlukan oleh bayi untuk sihat dan tidak mudah diserang penyakit.
Beliau berkata statistik menunjukkan seramai 155 juta kanak-kanak bawah lima tahun di seluruh dunia terbantut, 52 juta kurang berat badan dan 41 juta adalah berlebihan berat badan kerana tidak mengamalkan penyusuan susu ibu.
“Manakala, Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015 di Kedah juga mendapati kanak-kanak bawah enam tahun yang tidak menyusu ibu mengalami masalah sama iaitu terbantut sebanyak 13.5 peratus, kurang berat badan 7.8 peratus manakala berlebihan berat badan adalah 4.3 peratus,” katanya. – BERNAMA