SUNGAI PETANI – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang membangunkan dua sistem dari segi pengurusan sumber air negara untuk membolehkan amaran dan maklumat penting yang berkaitan dapat disebarkan kepada orang awam secepat mungkin sebelum sesuatu musibah berlaku.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi JPS, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali berkata dua sistem itu adalah Sistem Ramalan dan Amaran Banjir Negara (NaFFWS) dan Sistem Pengurusan Imbangan Air Negara (NAWABS).
NaFFWS adalah satu daripada komponen di bawah Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang boleh meramalkan kejadian banjir berdasarkan hujan dan aliran sungai dengan ramalan itu boleh dihasilkan dalam tempoh tujuh hari sebelum suatu kejadian banjir berlaku.
“…dan dalam masa 48 jam sebelum kejadian diramalkan, kita boleh keluarkan confirmation…(jadi di sini) mula kita ramal, lepas tu kita bagi amaran yang mana sistem ini kita sedang bangunkan di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Kita pilih negeri ini sebab setiap tahun satu atau kesemua (negeri ini) akan banjir. Jadi kita tertumpu kepada Sungai Pahang, Sungai Terengganu dan Sungai Kelantan…NaFFWS yang mula dilaksanakan pada 2016 dijangkakan siap 2019,” katanya kepada Bernama sempena Ekspedisi Sumber Air Negara yang berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu lepas di Kedah.
Nor Hisham berkata komponen lain bagi mewujudkan sistem amaran banjir itu ialah pembinaan stesen hidrologi dan bilik kawalan di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir dengan pusat ramalan itu telah pun siap pada November tahun lepas.
“Control centre dah siap, yang sedang kita pasang ini stesen di pedalaman yang susah dan ambil masa sebab stesen ini ada diletak di Gunung Gagau, (Terengganu), Banjaran Titiwangsa, (Kelantan), Ulu Tembeling, (Pahang),” katanya.
Mengenai NAWABS pula, beliau berkata ia satu sistem imbangan yang tertumpu kepada lima lembangan sungai termasuk Sungai Muda dekat sini dengan sistem itu akan menilai kuantiti air yang terdapat di empangan sungai terlibat untuk memastikan simpanan dengan penggunaan air itu jumlahnya seimbang sekali gus dapat mengelakkan keadaan kekurangan bekalan air.
“Kiraan macam accounting kewangan, so simpanan itu kita kata simpanan, dan berapa yang kita withdraw dari segi penggunaan industri, penggunaan domestik, penggunaan pertanian semua itu kita anggap sebagai keperluan. So storage dengan keperluan harus seimbang, lebih tak apa. Lebih kita boleh store, kalau kurang kita kena cari mana nak dapatkan sumber air.
“…macam jadi kalau kita tidak ada hujan dalam (tempoh) tiga, empat bulan, sistem ini akan mula mengesan kemungkinan bahawa akan berlaku kemarau dan kemungkinan air tak cukup untuk disampaikan kepada penduduk dan sistem ini bagi amaran, dan sekiranya benda ini boleh berlaku, kerajaan negeri boleh buat sesuatu untuk supply air (dengan cara) sediakan air lori tangki atau sebagainya,” katanya.
Nor Hisham berkata fasa pembangunan NAWABS yang turut bermula pada 2016 itu kini berada pada peringkat kajian serta pemasangan infrastruktur Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dengan dijangkakan siap pada 2020.
Katanya, agensi lain yang berkaitan turut boleh memanfaatkan penggunaan dua sistem itu sekali gus tindakan dapat dilaksanakan secara bersepadu berdasarkan data yang sama diperoleh daripada sistem berkenaan. – BERNAMA

