KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau kenyataan berhubung gambar penyerang importnya, Patrick dos Santos Cruz yang dilaporkan mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital di Terengganu.
Pegawai Keselamatan PBNP, ASP Mohd Keny Abdullah berkata tindakan sedemikian hanya akan mengganggu siasatan yang akan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hanya PDRM Terengganu sahaja yang berhak mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada berkenaan kes atau perkembangan lanjut kes,” kata Mohd Keny menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan PBNP hari ini.
Beliau pada masa sama menjelaskan sebarang lawatan orang awam dan pihak media adalah tidak dibenarkan bagi menjaga privasi Patrick dan keluarganya selain memberi ruang secukupnya kepada petugas perubatan untuk melakukan rawatan ke atas pemain berkenaan.
Seorang netizen menerusi laman Facebook mendakwa pemain kelahiran Brazil itu diserang di Pulau Perhentian oleh seorang lelaki yang tidak dikenali awal pagi tadi. – BERNAMA

