MUDARAT yang lebih besar dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi sebab kenapa ahli PAS perlu memberi undi pada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya di Sungai Kandis.
Ini dijelaskan oleh seorang pemimpin ulama PAS, Mokhtar Senik dalam satu tulisannya di Facebook hari ini mengulas kenapa perlu memberikan undi pada BN.
Katanya, beliau mahu menyampaikan pandangannya dalam hal ini kerana menerima pertanyaan dari ramai pihak, sambil mengatakan tulisannya tidak mewakili parti.
Mokhtar bagaimanapun merupakan agamawan berpengaruh dalam PAS dan menjadi rujukan banyak pihak untuk menentukan sikap dalam hal politik.
“Oleh itu bagi saya undi kita kali ini bukan soal siapa yg kita patut berikan kememangan. Tetapi sebenarnya siapa yang patut kita kalahkan,” tulisnya.
Menurutnya, ketetapan ini diperolehi daripada hukum yang ditetapkan oleh ulama dalam fekah Islam.
Jelasnya, perlu dinilai pihak “manakah yang lebih ringan kemudaratannya? Ini adalah kaedah fiqh yang telah disepakati oleh ulama-ulama fiqh.”
Menurut Mokhtar, mudarat yang lebih besar dalam isu pilihan raya Sungai Kandis ialah pihak PH yang menunjukkan sikap melawan Islam.
“Jika dilihat antara BN dan PH, pada pengamatan saya PH lebih mendatangkan kemudaratan kepada Islam berbanding BN.
“Berdasarkan (kenyataan-kenyataan) pimpinan PH kita dapat saksikan sikap mereka terhadap Islam. Lebih-lebih lagi dalam keadaan parti-parti Melayu Islam dalam PH boleh dikatakan tunduk kepada kehendak DAP, parti yg tidak tersembunyi lagi kebenciannya terhadap Islam,” tegasnya. – Mynewshub.tv

