KUALA LUMPUR – Usaha akan dipergiatkan untuk memastikan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai Digital Free Trade Zone (DFTZ) dan menggunakannya sebagai platform untuk memasarkan produk mereka ke pasaran luar negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata perniagaan atas talian yang merentasi sempadan akan menjadi perniagaan utama masa depan, justeru PKS harus digalak untuk mengambil bahagian dalam sektor ini.
“Kerajaan akan meneruskan inisiatif yang memberikan manfaat dan kebaikan kepada PKS. Kerajaan juga akan memantau prestasi eksport PKS menerusi platform ini supaya mereka terus berdaya maju dalam jangka masa panjang,” katanya menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Gobind Singh berkata sejak DFTZ dilaksanakan pada 2017, sebanyak 3,300 PKS tempatan telah menyertai platform itu.
Rekod perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada April mengenai pencapaian awal telah menunjukkan bahawa sebanyak 70 PKS berjaya menjana jualan bernilai RM52.1 juta dengan nilai eksport sebanyak RM18.1 juta.
Gobind Singh turut memberitahu Dewan Rakyat bahawa dalam memperkasakan DFTZ, kerajaan tidak memfokus kepada platform tertentu semata-mata misalnya Alibaba, tetapi kepada semua platform e-dagang yang dapat membantu perkembangan PKS tempatan.
Katanya MDEC juga bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan SME Corp untuk menggalakkan penglibatan PKS tempatan dalam DFTZ melalui pelbagai platform termasuk Alibaba dan Lazada.
Menjawab soalan tambahan Mohd Shahar yang ingin tahu tentang usaha untuk menarik minat masyarakat luar bandar terlibat dalam perniagaan dalam talian, Gobind Singh berkata usaha penyediaan dan penambahbaikan infrastruktur seperti kesalinghubungan Internet perlu diperkukuh bagi menggalak dan menyakinkan golongan luar bandar untuk mengambil peluang dan menyertai perniagaan dalam talian.
Dalam jangka panjang, kerajaan akan mempertimbang untuk mewujudkan undang-undang bagi tujuan menjaga hak dan kepentingan peniaga dalam talian, tegasnya. – BERNAMA

