KUALA LUMPUR – Kesediaan Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab pertanyaan daripada pembangkang yang ditujukan kepada menteri kewangan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini menunjukkan sikap perdana menteri itu yang penuh kebertanggungjawaban.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Dr Mahathir sebagai perdana menteri berhak berbuat demikian, malah tindakan beliau menjawab soalan itu haruslah dipuji.
“Beliau (Dr Mahathir) yang terlebih dahulu menjawab soalan itu. Saya rasa sikap akauntabiliti perdana menteri itu harus dipuji,” katanya ringkas ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau ditanya mengenai tindakan perdana menteri menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sesi Dewan Rakyat hari ini yang meminta menteri kewangan menyatakan rasional Malaysia mendapatkan pinjaman daripada Jepun yang mempunyai nilai mata wang lebih tinggi berbanding ringgit walaupun faedah yang bakal dikenakan dikatakan rendah.
Dr Mahathir dalam lawatannya ke Tokyo pada Jun lepas telah mengumumkan mendapat kredit yen daripada kerajaan Jepun dalam usaha mengurangkan beban hutang negara. – BERNAMA

