BANGGA… Putera William berkata, beliau berbangga dengan pasukan England kerana mereka telah “mencipta sejarah” pada Piala Dunia 2018 di Rusia.
Pewaris takhta kerajaan Britain yang juga presiden persatuan bola sepak (FA) England itu berkata demikian susulan kekalahan skuad kebangsaan di tangan Croatia pada perlawanan separuh akhir semalam.
Duke of Cambridge tersebut turut memuat naik status di Twitter: “Saya tahu betapa kecewa yang dirasai England sekarang, tetapi saya berbangga dengan pasukan ini dan anda tidak seharusnya berasa malu.
“Anda melakukan sesuatu yang luar biasa pada Piala Dunia, mencipta sejarah, dan membuatkan kami para penyokong sesuatu yang dipercayai.
“Kami tahu lebih banyak yang akan dicipta oleh pasukan England.”
England kecundang pada saingan separuh akhir menentang Croatia dengan 1-2.
Ia sekali gus menyaksikan pasukan Croatia bertemu Perancis pada perlawanan akhir Piala Dunia 2018, Ahad ini. – Mail Online UK/mStar Online
