KETERLALUAN… Kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) tampaknya memang dikuasai pemimpin DAP yang bebas cakap apa sahaja waima jauh tersasar daripada bidang tugas mereka sepatutnya.
Sebelum ini, rakyat Malaysia gempar dengan ‘arahan’ otai parti itu, Lim Kit Siang menyuruh Ketua Hakim Negara letak jawatan, kali ini giliran anaknya, Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP pula bertindak keterlaluan.
Semalam, media antarabangsa melaporkan Menteri Kewangan itu angkuh mendakwa Kerajaan PH akan menjual barang kemas dan barangan mewah yang kononnya dikaitkan dengan kes melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ini termasuk segala rantai berlian, tiara dan beg tangan berjenama yang disita oleh pihak polis pada bulan Ramadan lalu dalam siasatan didakwa sebagai konon diselewengkan daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut Guan Eng, nilai rampasan itu ibarat ‘setitis air di lautan’ berbanding jumlah RM50 bilion yang diambil daripada 1MDB termasuk kecurian dan pinjaman untuk menutup skandal rasuah melibatkan badan tersebut.
“Kita akan cuba untuk tukar (barangan yang disita) kepada tunai, tetapi harus diingat jumlah itu masih terlalu kecil berbanding apa yang dirompak dari negara ini. Bayangkan jika jumlah itu ditemui di Amerika Syarikat (AS).
“Ini sudah cukup mengejutkan walaupun untuk sebuah negara kaya seperti AS. Bagi negara kecil seperti Malaysia, ini benar-benar sesuatu luar biasa,” katanya ketika ditemuramah agensi berita asing, Associated Press di Putrajaya.
Kenyataan pelik oleh Guan Eng itu mencetuskan persoalan cepumas, siapakah beliau yang berani bercakap sebegini melangkaui bidang kuasa dirinya seolah-olah sudah pun menjadi Menteri Dalam Negeri atau Ketua Polis Negara.
Walhal, untuk melucutkan harta seseorang, ia perlu disabitkan kesalahan di mahkamah terlebih dahulu sebelum hakim memutuskan untuk melelong harta milik tertuduh sebagai mana dalam kes kartel dadah atau kongsi gelap.
Rabu lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Amar Ishar Singh pada sidang media di ibu kota menganggarkan rampasan bernilai hampir RM1.1 bilion itu kononnya dikaitkan dengan kes Najib.
Polis dikerah menyita 12,000 barang kemas, 567 beg tangan, 423 jam tangan dan 234 cermin mata daripada beberapa hartanah selepas kekalahan mengejut Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 bulan lalu.
Namun ramai pengamat politik tempatan menyifatkan ia usaha balas dendam kerajaan PH bagi memalukan Najib tanpa bukti kukuh sebagai mana pernah menimpa Anwar Ibrahim dalam kes liwat pada 1998. – Mynewshub.tv

