KUALA TERENGGANU – Persatuan Sahabat Faqeh Terengganu, sebuah badan bukan kerajaan khusus untuk memberi sokongan moral kepada keluarga yang mempunyai anak autisme, merayu ihsan kerajaan negeri menyediakan premis khas untuk golongan itu menjalankan aktiviti.
Pengerusi persatuan itu, Dr Nor Suhaili Abu Bakar berkata ketika ini, persatuan terpaksa menumpang tingkat atas premis milik Darul Fitrah di sini untuk melakukan pelbagai aktiviti khas untuk golongan istimewa itu.
“Ketika ini, persatuan mempunyai 40 keluarga yang berdaftar dan jika kesemua mereka hadir ke premis sedia ada, keadaan memang agak sempit dan agak sukar untuk melakukan pelbagai aktiviti dengan lancar.
“Justeru, besar harapan kami dengan kecaknaan kerajaan negeri agar dapat menyediakan premis khas untuk golongan autisme di Terengganu seterusnya menjadi pusat harian yang lebih sistematik dan tersusun kerana ini akan menjadi satu langkah ke hadapan dalam membela nasib golongan ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Persatuan itu yang ditubuhkan tahun lalu adalah hasil inisiatif Dr Nor Suhaili yang juga seorang pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama-sama ibu bapa yang mempunyai anak autisme di seluruh Terengganu.
Setiap hari Jumaat, anggota persatuan itu akan berkumpul untuk bersama-sama di Darul Fitrah melakukan aktiviti pendidikan kerohanian untuk anak autisme seperti mengaji al Quran, membaca doa ruqyah, solat sunat dhuha berjemaah dan aktiviti fizikal yang lain.
Dr Nor Suhaili berkata ada ibu bapa yang sanggup datang setiap minggu dari Kemaman untuk hadir ke aktiviti mingguan itu kerana anak mereka mula menunjukkan perkembangan positif setelah mengikuti program tersebut.
“Kempen kesedaran ini sebenarnya masih terhad kepada golongan ibu bapa yang terdedah di sekitar bandar, bagaimana pula nasib anak autisme yang berada jauh di luar bandar, sudah tentu mereka masih belum mengetahui kewujudan persatuan ini untuk terus memperbaiki mutu kehidupan anak mereka.
“Persatuan sangat optimis bahawa jika kami mempunyai premis sendiri, lebih banyak aktiviti boleh dilakukan kerana golongan autisme ini sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri dan boleh menyumbang sesuatu untuk agama, bangsa dan negara pada masa depan,” katanya.
Setakat ini, persatuan itu menerima golongan autisme seawal usia tiga hingga 17 tahun untuk bersama-sama melakukan pelbagai aktiviti bermanfaat di Darul Fitrah mulai pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari setiap Jumaat.
Sementara itu, pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malik, Muhammad Syahmi Asyraff Samsul Muariff berkata beliau berasa terhibur setiap kali datang ke aktiviti mingguan tersebut.
“Memang seronok sebab boleh jumpa orang lain yang senasib dengan saya, paling gembira jika dapat membantu cikgu atau sukarelawan lain untuk membimbing anak autisme yang lain.
“Di sini, kami semua bersatu hati dan saling tolong menolong agar semua anak autisme dapat menikmati hidup dengan lebih baik pada masa depan,” katanya yang berjaya memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.
Beliau adalah antara calon berkeperluan khas yang berjaya mencatat keputusan cemerlang dan mengakui aktiviti yang diatur persatuan selama ini turut membantu kejayaannya itu. – BERNAMA

