ALOR SETAR – Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Kilometer 71 Lebuh Raya Utara–Selatan (arah selatan) di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Arriz Sham Hamezah berkata dalam kejadian 9.18 malam itu, kedua-dua mangsa yang berusia 20-an maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Beliau berkata siasatan mendapati motosikal yang ditunggang mangsa gagal mengelak dan merempuh sebuah motosikal lain yang rosak di tepi lebuh raya berkenaan.
“Motosikal berkenaan dipandu laju menyebabkan penunggang dan pemboncengnya tidak dapat mengelak lalu merempuh motosikal yang rosak di tepi jalan.
“Tidak lama kemudian, sebuah motosikal lain dari arah Gurun menghala Alor Setar juga tidak sempat mengelak dan terbabas ke bahu jalan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Arriz Sham berkata kemalangan itu menyebabkan penunggang dan pemboncengnya yang berusia 20-an cedera di bahu dan kaki.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat dan mangsa yang cedera juga dirawat di hospital yang sama.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

