KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif dijangka meningkat minggu depan berikutan pemulihan teknikal, kata peniaga.
Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd, Kiang Jia Ling berkata, emas Bursa dijangka pulih ketika mendekati paras sokongan pada RM163.5 segram untuk bulan aktifnya.
“Ketidaktentuan yang berterusan berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang berpotensi menjejaskan pertumbuhan global mungkin akan menjejaskan selera risiko, dengan itu menjadikan aset selamat lebih menarik,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, katanya, ringgit yang lebih lemah berbanding dolar US juga akan membantu meningkatkan permintaan terhadap emas.
“Emas Bursa dijangka diniaga dalam lingkungan RM163.8 dan RM166.50 segram untuk bulan aktif minggu depan,” katanya.
Ketika membandingkan prestasi Jumaat dengan Khamis lepas, Jun 2018, Julai 2018 dan Ogos 2018 masing-masing jatuh 42 mata kepada RM164.70, RM165.05 dan RM165.15 segram manakala September 2018 turun 36 mata kepada RM165.50 segram.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada lapan lot bernilai RM132,140 berbanding dua lot bernilai RM33,300 pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 38 kontrak daripada 33 kontrak. – BERNAMA

