KUALA LUMPUR – Penerjun negara di bawah Program Podium yang terlibat dalam masalah disiplin di China boleh dikenakan tindakan tegas termasuk digugurkan daripada program sekiranya didapati bersalah melanggar peraturan.
Pengarah Program Podium Tim Newenham berkata mereka tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang salah laku atlet di dalam mahupun luar negara memandangkan mereka mewakili imej negara.
“Jawatankuasa disiplin ASUM (Persatuan Renang Amatur Malaysia) akan bertemu dan memutuskan tindakan yang akan diambil terhadap atlet yang terlibat dalam video yang tersebar tersebut.
“Terserah kepada jawatankuasa untuk memutuskan hukuman dan kita lihat syor mereka untuk kita ambil tindakan sewajarnya terhadap yang terlibat,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung ASUM Mae Chen mendedahkan jawatankuasa itu akan memutuskan hukuman sebelum Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 pada Ogos ini.
“Kami akan bermesyuarat tidak lama lagi dan membuat keputusan,” katanya.
Terdahulu, skuad terjun negara diketuai Chew Yiwei membuat permohonan maaf secara terbuka pada sidang media hari ini susulan kelakuan tidak senonoh mereka dan bersedia menerima sebarang hukuman daripada ASUM.
Beliau dan enam lagi penerjun dilaporkan mengambil minuman keras semasa menjalani latihan intensif di China dan video insiden itu ditularkan menerusi media sosial.
ASUM mengesahkan tiga atlet terjun Program Podium – Yiwei, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri serta empat atlet junior di bawah program Majlis Sukan Negara – Hanis Nazirul Jaya Surya, Jellson Jabillin, Gabriel Gilbert Daim dan Kimberly Bong terlibat dalam insiden itu. – BERNAMA