KEMENTERIAN  Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) melalui agensi Suruhanjaya Tenaga dan syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini sedang menjalankan kajian terperinci berkenaan tarif elektrik di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berjata kajian berkenaan melibatkan jumlah sebenar penjimatan kos terkini yang boleh dilepaskan dalam masa terdekat kepada pengguna perkhidmatan TNB.
“Kertas kajian itu akan diserahkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk pertimbangan. Segala-galanya bergantung kepada jemaah Menteri,” katanya.
BACA JUGA – Khairy Mohon TNB Timbang Turun Tarif Elektrik

Beliau sebelum itu menghadiri majlis Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena Alor Setar, Kedah hari ini.
Menurut beliau, sebenarnya penurunan harga minyak pada ketika ini tidak memberi banyak kesan kepada kos penjanaan elektrik kerana 55 peratus daripada loji janakuasa di Semenanjung Malaysia menggunakan gas dan gas asli cecair (LNG).
Menurut Mahdzir, selain menggunakan gas dan LNG, loji-loji janakuasa di negara ini menggunakan arang batu, kuasa hidro dan tenaga diperbaharui seperti biomass, solar dan lain-lain.
Kajian mengenai strategi tenaga itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat hari lagi.
Selasa lepas, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) menimbangkan untuk menurunkan tarif elektrik selaras dengan penurunan harga minyak pada masa ini.
Khairy berkata demikian dalam status terkini yang dimuat naik dalam laman Facebooknya.
“Pada masa yang sama, mungkin TNB juga perlu pertimbangkan untuk menurunkan tarif elektrik. Sebab hari itu mereka minta Jemaah Menteri naikkan tarif sebab input kos bahan bakar naik. Sekarang dah turun,” katanya.
– MYNEWSHUB.CC
Permohonan KJ Agar TNB Menurunkan Kadar Tarif Elektrik

