PUTRAJAYA – Kira-kira 100 pemandu teksi Putrajaya hari ini menghantar memorandum kepada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi membantah pemansuhan sistem teksi berkupon yang digantikan dengan kaedah tambang RM2 dan meter.
Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Berwawasan Putrajaya dan Selangor Saari Omar berkata kaji selidik Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Berhad mendapati 89 peratus pemandu dan 80 peratus pengguna di Putrajaya Sentral mahu sistem kupon dikekalkan.
“Kaedah ini diterima baik oleh pengguna kerana mereka hanya perlu membayar tambang di kaunter dan menuju ke destinasi tanpa dibelenggu isu lain seperti pemandu menggunakan laluan jauh dan bacaan meter yang laju.
“Kami bimbang jika sistem RM2 dan meter dilaksanakan pendapatan kami akan terjejas kerana orang ramai rasa sangsi terhadap pemandu teksi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Rahimi Rejab, di sini hari ini.
Pada 10 Dis lepas, SPAD mengeluarkan notis supaya pelaksanaan sistem tambang RM2 dan meter dipercepatkan kepada 31 Mac depan berbanding tarikh asal 30 Jun.
Saari berkata kaedah yang memerlukan pengguna membayar RM2 di kaunter dan seterusnya perlu membayar tambang kepada pemandu berdasarkan bacaan meter terbukti gagal di Terminal Bersepadu Selatan kerana tidak mendapat keyakinan pengguna.
“Kami juga tidak faham kenapa SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) membenarkan sistem kupon dilaksanakan di KL Sentral, Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan klia2, sedangkan di Putrajaya tidak boleh,” katanya.
Menurutnya, lebih 200 pemandu teksi Putrajaya menghargai keprihatinan pihak kementerian yang berjanji untuk memanjangkan perkara itu kepada SPAD untuk dipertimbangkan semula. – BERNAMA