KUALA LUMPUR – Ringgit tidak berubah berbanding dolar AS dalam dagangan awal hari ini ketika para penggiat pasaran masih menunggu petunjuk daripada pihak berkuasa mengenai pengganti Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).
Pada 9.27 pagi ini, ringgit disebut pada 3.9720/9750 berbanding dolar AS yang menyamai paras sewaktu ditutup, semalam.
Menurut seorang peniaga, pasaran berhati-hati memandangkan calon bagi mengisi jawatan penting itu masih belum dinamakan walaupun bekas Timbalan Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus disebut sebagai pengganti Muhammad.
Dalam pada itu, ringgit rendah berbanding kumpulan mata wang lainnya.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9831/9860 daripada 2.9789/9813 semalam dan rendah berbanding yen kepada 3.6080/6113 daripada 3.6047/6087.
Unit tempatan itu juga turun berbanding pound Britain kepada 5.3364/3420 daripada 5.3332/3380 dan susut berbanding euro kepada 4.6854/6901 daripada 4.6746/6794. – BERNAMA

