ALOR SETAR – Berbuka puasa ‘potluck’ beramai-ramai sambil berlatar belakangkan Masjid Zahir yang bercirikan seni bina timur tengah serta dirasmikan Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada 15 Oktober 1915.
Itu adalah antara aktiviti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan isteri, Tok Puan Norzieta Zakaria di Dataran Medan Bandar, berhadapan dengan Masjid Zahir hari ini.
Lebih menarik apabila rakyat pelbagai kaum seperti Cina, Sikh, dan India dan badan bukan kerajaan (NGO) turut bersama-sama merasai pengalaman berbuka puasa yang hanya berlangsung setahun sekali itu.
Antaranya Ting Loon Khing, 65, daripada Darulaman Toastmasters International Club yang begitu teruja dapat bersama rakan- rakannya yang beragama Islam menyertai aktiviti iftar itu.
“Kita dapat rasakan suasana yang amat berbeza berbanding duduk makan di restoran, di sini lebih meriah sebab kita boleh tukar-tukar juadah dan rasa seperti satu keluarga,” katanya.
Sementara itu, Helen Loo Cheah Yin, 50, daripada Persatuan Buddhist Tzu Chi yang banyak menjalankan aktiviti kebajikan berkata semangat muhibah dan kebersamaan dapat dirasai apabila saling berkongsi makanan dan duduk makan beramai-ramai.
“Kami turut membawa makanan halal untuk rakan-rakan beragama Islam dan menariknya saya kena makan menggunakan tangan…tak boleh pakai sudu,” katanya berseloroh. – BERNAMA
