KUALA BERANG – Kerajaan negeri akan meningkatkan lagi keupayaan beberapa produk pelancongan yang kurang berdaya maju bagi menambah hasil pulangan sektor pelancongan tersebut kepada ekonomi negeri.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata antaranya ialah Taman Tamadun Islam (TTI) dan Masjid Kristal yang sebelum ini dikatakan ‘bermasalah’ dan kurang mendapat perhatian pengunjung.
“Bila kami ambil alih kerajaan, kami akui ada masalah terhadap projek demikian…tetapi bukan masanya kami nak menuding jari kepada sesiapa.
“Kita kena cari jalan bagaimana untuk menjadikan projek yang kurang berdaya maju, kurang mendatangkan aktiviti ekonomi kepada projek sedia ada kepada yang mendatangkan hasil…pertamanya kepada masyarakat sekitar, pengusaha pelancong dan kepentingan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Peringkat Daerah Hulu Terengganu di Masjid Al Amin Kampung Buluh, Kuala Berang, di sini semalam.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk A.Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim serta Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau merangkap Anggota Dewan Undangan Kuala Berang Dr Mamad Puteh.
Ketika Terengganu diperintah Barisan Nasional, PAS pernah membuat kenyataan bahawa beberapa projek pelancongan termasuk TTI, Masjid Kristal, adalah pembaziran kerana gagal membawa pulangan setimpal meskipun didirikan menggunakan jutaan ringgit wang kerajaan negeri.
Mengulas mengenai pemberian bonus Aidilfitri untuk 10,600 penjawat awam negeri, beliau berkata keputusan akan diketahui selepas mesyuarat bersama exco pada masa terdekat.
“Kami belum buat keputusan tentang jumlah bonus untuk penjawat awam sempena Hari Raya kali ini tapi ia akan diputuskan dalam mesyuarat exco tidak lama lagi, ” katanya.
Pada majlis sama, Ahmad Samsuri dan isteri, Tuan FaizahTuan Abdul Rahman, turut menyampaikan sumbangan raya kepada 51 anak yatim dari DUN Kuala Berang.
Terdahulu, beliau meluangkan masa hampir satu jam menghadiri taklimat pembangunan Daerah Hulu Terengganu di bilik gerakan Pejabat Daerah Hulu Terengganu. – BERNAMA

