PETISYEN bagi mendesak hukuman mati yang dikenakan ke atas seorang remaja berusia 19 tahun dari Sudan, Noura Hussein, supaya dibatalkan, kini telah mencecah sejuta tandatangan.
Noura sebelum ini didakwa membunuh suaminya selepas lelaki itu merogolnya.
Antara yang menandatangani petisyen berkenaan adalah selebriti berprofil tinggi seperi Naomi Campbell, Mira Sorvino, Emma Watson, Rose McGowan serta bekas Perdana Menteri Australia, Julia Gillard.
Pasukan peguam yang mewakili Noura, kini mempunyai masa hingga hari ini untuk memfailkan rayuan terhadap hukuman mati yang diputuskan oleh mahkamah di Sudan, 15 hari lalu.
Namun dalam usaha berkenaan, peguam Noura berkata pihaknya memerlukan sokongan kukuh daripada antarabangsa seperti Kesatuan Afrika, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah sebelum rayuan itu dikemukakan.
Noura mendapat perhatian antarabangsa selepas dijatuhkan hukuman gantung oleh mahkamah selepas didapati bersalah membunuh suaminya.
Mengikut fakta kes, dia telah melarikan diri pada usia 16 tahun dari rumahnya selepas dipaksa oleh bapanya untuk berkahwin.
Namun dia kembali semula ke rumahnya selepas bapanya berjanji untuk membatalkan perkahwinan terbabit.
Bagaimanapun Noura telah ditipu dan ketika balik ke rumah, segala persiapan untuk majlis perkahwinan itu telah dilakukan.
Selepas berkahwin, Noura enggan melakukan seks dengan suaminya namun pada hari keenam selepas majlis perkahwinan itu, lelaki berkenaan telah merogol Noura dengan dibantu oleh tiga sepupu suaminya.
Ketika suaminya cuba merogolnya sekali lagi pada keesokan harinya, Noura yang bergelut untuk menghalang perbuatan berkenaan telah menikam lelaki terbabit. – MYNEWSHUB.CC

