PEMBATALAN projek keretapi laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Projek ini dikatakan menelan belanja besar tetapi dijangka tidak akan dapat memenuhi jangkaan pemumpang yang akan menggunakannya.
Selepas Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya umum lalu, ramai pemerhati menjangka projek HSR ini kurang kemungkinan untuk dibatalkan berbanding keretapi Pantai Timur ECRL kerana lebih berdaya maju dan bernilai ekonomi.
Isu pengaruh China lebih nampak pada ECRL dan bukan pada HSR, yang menurut penganalisis berupaya mengalirkan kesan ekonomi ke koridor yang padat penduduk di sepanjang Pantai Barat.
Tetapi kerana isu ini berkait dengan politik, masih ada kemungkinan pembatalan ini tidak muktamad dan hanya akan dinilai serta dihidupkan semula kemudian.
Pada masa itu, syarikat dan kepentingan yang terbabit mungkin akan jauh berbeza dengan yang terlibat dalam projek yang dirancang di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setakat ini, pembatalan ini boleh memberi manfaat pada syarikat penerbangan yang menerbangkan penumpang di laluan KL-Singapura ini.
Laluan ini ialah antara yang tersibuk di dunia, dan menjadikan lapangan terbang agak sesak terutama pada masa sibuk seperti perayaan.
Selain pengangkutan udara, ketiadaan alternatif rel juga bermakna PLUS akan terus dapat memungut tol antara laluan ini.
Jumlah kutipan jutaan ringgit ini pasti akan merosot sekiranya ramai memilih pengangkutan rel baharu.
Isu kos projek HSR ini masih boleh diperdebatkan kerana pertimbangan kos tidak sepatutnya menjadi satu-satunya faktor untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan.
Selain itu, aspek alam sekitar juga perlu diberi perhatian dalam mempertimbangkan projek keretapi laju ini.
Keretapi antara KL-Singapura ini boleh membantu mengurangkan pencemaran pelepasan karbon apabila pengguna lebuh raya dan kapal terbang menurun.
Isu alam sekitar ini mungkin tidak mendapat perhatian seperti kos kewangan projek HSR ini, tetapi ia tetap satu isu yang semakin penting.
Satu isu yang tidak boleh diabaikan ialah pembatalan ini dibuat dengan tergesa-gesa, dan hanya dalam kenyataan terbaru Perdana Menteri mengatakan akan berunding dengan Singapura.
Sepatutnya perlu ditubuhkan satu jawatankuasa mengkaji projek-projek mega seperti ini terlebih dahulu, kerana projek ini telah dipersetujui dan pembatalan akan mengakibatkan kos kepada Malaysia.
Malah, pembatalan ini tidak dibincangkan dalam Kabinet, menandakan hanya Perdana Menteri (mungkin bersama majlis penasihatnya) yang membuat keputusan ini.
Kenyataan tergesa-gesa mengumumkan pembatalan boleh menguatkan dakwaan politik dendam dan tidak berhati-hati dalam mengurus ekonomi negara. – Mynewshub.cc

