KUANTAN – Skuad Kuantan FA mengeluarkankan amaran bakal memberikan saingan sengit kepada pasukan lain dalam saingan Liga Perdana musim ini dengan menyasarkan sekurang-kurangnya menghuni lima kedudukan teratas liga bola sepak itu.
Sasaran Kuantan FA yang merupakan juara Liga FAM musim lalu dan dikenali dengan panggilan ‘The Seagull’ itu dilihat realistik berdasarkan prestasi dan kekuatan terkininya di bawah bimbingan jurulatih, Aminuddin Hussin.
Presiden Kuantan FA, Datuk Norhayad Ahmad berkata, beliau percaya pasukannya akan meneruskan kecemerlangan dan berupaya untuk memberi tentangan hebat kepada pasukan lain.
“Walaupun kami tidak memiliki ramai nama besar dalam pasukan, saya yakin kita mampu mencapai sasaran berada di kelompok lima teratas Liga Perdana atau setidaknya mengekalkan pasukan beraksi di liga itu pada tahun berikutnya.
Dengan kerja keras pihak pengurusan, barisan kejurulatihan dan para pemain melakukan persiapan, saya percaya Kuantan FA akan menjadi antara pasukan disegani oleh lawan pada saingan musim ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Memperkenalkan Pemain dan Pelancaran Jersi Kuantan FA 2015 di Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini malam tadi.
Pada musim ini, Kuantan FA ditaja oleh Wangsa Makmur Capital, Nilaitek Properties, IKIP Training Sdn Bhd, Rapid Kuantan, KAPPA, KILINEY Cafe, OASIS GYM dan Majlis Perbndaran Kuantan.
Sementara itu, Datuk Wan Solihi Wan Hasan berkata, sebanyak RM5 juta dibelanjakan secara keseluruhannya bagi memastikan skuad ini mampu meneruskan cabaran sehingga ke akhir musim.
“Wang yang diperolehi daripada para penaja akan disalurkan kepada pasukan termasuk membayar gaji pemain dan pihak pengurusan Kuantan FA.
Kami tidak berbelanja besar seperti sesetengah pasukan yang mungkin mengeluarkan wang mencecah RM20 juta, tetapi ia bukan halangan bagi skuad ini untuk melakar kejayaan,” katanya. – BERNAMA

